Monday 17 December 2012

Dewan Negara [17/12/2012] : JAWAPAN KEPADA PERTANYAAN LISAN NO.9


Berikut adalah jawapan saya bagi pihak Perdana Menteri , YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kepada Soalan No.4 di Parlimen semalam.



SOALAN 9

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA      : DATUK RAJA ROPIAAH BINTI RAJA ABDULLAH
TARIKH           : 17 DISEMBER 2012 (ISNIN)


Datuk Raja Ropiaah binti Raja Abdullah minta PERDANA MENTERI menyatakan inisiatif yang dilakukan oleh pihak Kerajaan untuk menangani dan mengurangkan bebanan rakyat untuk memiliki keperluan asas keluarga seperti Rumah (roof over your head), Makanan (food on the table), dan Pendidikan anak-anak. Apakah Master Plan Kerajaan untuk menentukan setiap keluarga dapat memiliki rumah, mampu menyara keluarga, dapat memberi pendidikan kepada anak-anak serta hidup dengan selesa dan aman sejahtera.



JAWAPAN


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, rekod pembangunan negara sejak awal lagi telah menunjukkan bahawa penjagaan kesejahteraan rakyat merupakan objektif utama kesemua rancangan pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Melalui dua Rancangan Malaya dan sembilan Rancangan Malaysia, Kerajaan telah berjaya memperkukuh dan mempelbagaikan asas pertumbuhan ekonomi semenjak Merdeka lagi. Kerajaan juga sememangnya prihatin ke atas memenuhi keperluan asas rakyat termasuklah penyediaan perumahan, makanan, kesihatan, pengangkutan dan pendidikan yang mencukupi.

Hasilnya, pendapatan per kapita rakyat telah meningkat sebanyak 27 kali ganda semenjak 1970 kepada kini lebih dari RM29,000. Di samping itu, kadar kemiskinan juga telah berjaya dikurangkan dari hampir separuh isirumah di Malaysia pada tahun 1970 kepada kini 3.8 peratus. Dengan adanya peningkatan dalam pendapatan dan pengagihan kekayaan yang lebih saksama ini, kualiti hidup rakyat juga telah turut meningkat, seperti yang dicerminkan dalam Indeks Kualiti Hidup Malaysia. Menurut Indeks tersebut, aspek perumahan, pendidikan, pengangkutan dan kesihatan kesemuanya telah mencatatkan penambahbaikan yang ketara semenjak 1990. Sekiranya dahulu tumpuan Kerajaan lebih kepada penyediaan kemudahan yang mencukupi, sekarang Kerajaan juga memberi penekanan kepada kualiti kemudahan fizikal dan penyampaian perkhidmatan berkenaan.
Dalam mengadakan keperluan perumahan, Kerajaan amat prihatin di atas keperluan mendesak yang dihadapi oleh rakyat dalam memenuhi keperluan asas sebuah keluarga untuk memiliki sebuah rumah yang selesa, terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah. Pada masa ini, terdapat kira-kira 16,029 unit rumah yang sedang dibina oleh Kerajaan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR). Di samping itu, terkini Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM543 juta di bawah Bajet 2013 bagi melaksanakan 45 lagi projek PPR yang melibatkan pembinaan sebanyak 20,454 unit rumah kos rendah. Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) juga turut terlibat dalam mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah, di mana SPNB akan membina kira-kira 21,000 unit Rumah Mesra Rakyat dan 22,855 unit kediaman yang turut merangkumi apartmen kos rendah.

Kerajaan juga tidak melupakan golongan berpendapatan sederhana yang turut terbeban dengan kenaikan taraf hidup. Pembinaan rumah mampu milik bagi golongan tersebut telah dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Pada tahun 2013, Perbadanan PR1MA telah mensasarkan pembinaan sebanyak 7,000 unit rumah mampu milik di sekitar Lembah Klang dengan baki sebanyak 43,000 unit rumah akan dibina di bandar-bandar utama seluruh negara. Usaha Perbadanan PR1MA tersebut akan disokong oleh SPNB yang akan membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos sederhana di Shah Alam dan Sungai Buloh.

Dari aspek keperluan makanan pula, pelbagai inisatif juga telah dijalankan oleh pihak Kerajaan dalam usaha meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat bagi mereka memperolehi pendapatan yang cukup untuk membeli barangan, makanan dan lain-lain keperluan asas agar mereka mampu menyara keluarga serta hidup dengan selesa.

Di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan keluarga dan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan. Sebagai contoh, salah satu inisitaif yang dilaksanakan ialah National Key Result Area Low Income Household (NKRA LIH) yang merupakan program productive wellfare dan dikenali sebagai Program 1AZAM. Program 1AZAM telah menampakkan keberkesanannya dengan penyertaan sejumlah 90,984 orang daripada seluruh negara iaitu 11,289 peserta bagi AZAM Tani, 5,669 peserta bagi AZAM Kerja, 18,266 peserta bagi AZAM Niaga dan Khidmat di bawah Amanah Iktiar Malaysia, 29,209 peserta bagi AZAM Niaga dan Khidmat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 14,614 peserta di bawah Kerajaan Negeri Sabah dan 11,937 peserta di bawah Kerajaan Negeri Sarawak.

Selain itu, bantuan dari segi non-productive wellfare juga turut disediakan oleh pihak Kerajaan kepada golongan kurang bernasib baik iaitu menerusi pelbagai bentuk skim bantuan bulanan termasuk untuk keluarga dan individu yang memerlukan agar mereka dapat memenuhi keperluan makanan dan meneruskan penghidupan mereka dengan lebih baik. Kumpulan ini terdiri daripada keluarga miskin yang merupakan ibu tunggal yang mempunyai tanggungan tetapi tidak mempunyai pendapatan tetap, warga emas miskin dan orang kelainan upaya (OKU) yang berdaftar dengan JKM. Bantuan Orang Tua (BOT) juga ada disediakan di mana golongan sasar kepada BOT ini ialah orang tua yang miskin serta uzur.

Bagi meringankan beban golongan isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan, Kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia 2 (BR1M 2.0) kepada isi rumah yang layak. Bantuan persekolahan sebanyak RM100 turut diteruskan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah serta pemberian Baucer Buku 1Malaysia sebanyak RM250 bagi semua pelajar pra-Universiti dan universiti. Golongan bujang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan juga turut akan menerima bantuan tunai sebanyak RM250 seorang.

Tuan Yang di-Pertua serta Ahli Yang Berhormat sekalian,

Bagi pendidikan pula pelbagai jenis inisiatif turut diperkenalkan untuk memastikan rakyat mendapat kemudahan pendidikan yang sama. Program untuk meningkatkan pendapatan isi rumah luar bandar akan ditumpukan kepada usaha meningkatkan kemahiran, mewujudkan jalinan dengan majikan dalam kluster berkaitan dan bandar berhampiran serta menyediakan sokongan untuk mereka yang bekerja sendiri, perniagaan mikro dan industri berskala kecil. Usaha akan turut diambil untuk meningkatkan produktiviti dan mengekalkan aktiviti berasaskan pertanian melalui penggunaan teknologi pertanian moden dan kaedah peladangan kontrak yang meluas.

Bagi isi rumah berpendapatan rendah di bandar, inisiatif meliputi pelaksanaan program pengukuhan keupayaan melalui latihan peningkatan kemahiran bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan berpendapatan tinggi serta menjalankan perniagaan berasaskan kemahiran. Di samping itu, pelbagai program akan dilaksanakan melalui agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) bagi membantu usahawan memoden dan meningkatkan saiz perniagaan untuk memastikan daya tahan perniagaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat sekalian, pihak Kerajaan akan sentiasa memberi tumpuan dan perhatian yang serius untuk memastikan tiga keperluan asas iaitu rumah, makanan dan pendidikan dapat dinikmati oleh semua golongan rakyat terutamanya golongan kurang bernasib baik. Perancangan yang teliti dan kolektif diharap dapat memastikan pelbagai program dan aktiviti yang dirancang akan memberi manfaat kepada golongan sasaran. Diharap dengan adanya pelbagai program dan rancangan oleh Kerajaan ini, rakyat Malaysia akan menikmati hidup yang lebih baik pada masa akan datang.

Dewan Negara [17/12/2012] : JAWAPAN KEPADA PERTANYAAN LISAN NO.4 ( Status Miskin Tegar )


Berikut adalah jawapan saya bagi pihak Perdana Menteri , YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kepada Soalan No.4 di Parlimen semalam.



SOALAN 4

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA      : YB SENATOR DATO’ ABDUL RAHIM BIN ABDUL RAHMAN
TARIKH           : 17 DISEMBER 2012 (ISNIN)

YB SENATOR DATO’ ABDUL RAHIM BIN ABDUL RAHMAN minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah Kementerian mempunyai data yang lengkap mengenai bilangan penduduk miskin tegar di negara ini dan apakah langkah-langkah yang sedang dan akan diambil untuk mencapai status miskin tegar sifar menjelang 2020.

JAWAPAN

Kerajaan telah mewujudkan sistem eKasih pada tahun 2007 sebagai pangkalan data yang lengkap mengenai bilangan penduduk Miskin Tegar di negara ini. Sistem ini menggabungkan sistem Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang merupakan pangkalan data profil isi rumah Miskin Tegar luar bandar dan Urban Poverty Information Systems (UPIS) iaitu sistem untuk merekod dan memproses permohonan bantuan kemiskinan di bandar. Setakat 31 Oktober 2012, seramai 53,034 Ketua Isi Rumah (KIR) masih direkodkan sebagai Miskin Tegar di dalam eKasih.

Antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk mencapai status miskin tegar sifar menjelang 2020 adalah melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2010. Program GTP diperkenalkan bertujuan menangani bidang-bidang utama yang menjadi keprihatinan rakyat Malaysia di samping menjadi pemangkin kepada transformasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang membangun dan berpendapatan tinggi selaras dengan Wawasan 2020.

Untuk memastikan usaha GTP adalah terfokus dan mampan, sebuah rancangan sembilan tahun yang bercita-cita tinggi yang meliputi tiga fasa telah diwujudkan iaitu fasa pertama (2010-2012), fasa kedua (2012-2015) dan fasa ketiga (2015-2020). Antara kejayaan besar yang dicapai daripada program GTP ini adalah mengeluarkan lebih 44,000 isi rumah daripada kategori miskin tegar pada tahun 2010.

Seterusnya, menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mempertingkatkan Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah (LIH) adalah untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah. Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selaku agensi peneraju kepada inisiatif ini telah memperuntukkan bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah selain memberi peluang kepada mereka untuk membantu diri sendiri dan meningkatkan produktiviti melalui program 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin). Program 1AZAM dilaksanakan bagi membebaskan isi rumah berpendapatan rendah daripada kelompok miskin melalui pekerjaan, keusahawanan, aktiviti pertanian dan perkhidmatan.