SOALAN NO.1
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : DATUK HAJI MOHAMED BIN HAJI AZIZ [SRI GADING
TARIKH : 2 OKTOBER 2012 (SELASA)
SOALAN :
DATUK HAJI MOHAMED BIN HAJI AZIZ [SRI GADING] minta PERDANA MENTERI menyatakan perkembangan kadar pendapatan isi rumah dan KDNK negara sejak awal kemerdekaan hingga tahun 2012 ini dan sejauh mana perkembangan ekonomi domestik berjaya menjadi pemangkin kepada kekuatan ekonomi negara sejak merdeka hingga kini.
JAWAPAN :
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Penyiasatan
Pendapatan Isi Rumah mula dilaksanakan Kerajaan pada tahun 1970 dan yang
terakhir pada tahun 2009. Sehubungan ini, bagi tempoh 1970 hingga 2009, pendapatan
kasar bulanan isi rumah purata negara meningkat sebanyak 7.2 peratus setahun
daripada RM264 sebulan pada tahun 1970 kepada RM4,025 sebulan pada tahun 2009. Kadar
peningkatan pendapatan isi rumah purata ini adalah lebih tinggi berbanding purata
kadar inflasi sebanyak 3.4 peratus setahun, mencerminkan kuasa beli isi rumah
yang terus meningkat dalam suasana paras harga yang terkawal. Kejayaan ini
adalah hasil pelaksanaan dasar pembangunan yang sentiasa memberi penekanan
kepada usaha membina keupayaan terutama dalam bidang pendidikan dan latihan
serta peluang perkerjaan dan perniagaan berikutan pengembangan pesat aktiviti
ekonomi dan pembangunan infrastruktur.
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada harga benar pula
telah berkembang sebanyak 6.1 peratus setahun dalam tempoh 1957 hingga 2011.
Sehubungan ini, KDNK per kapita negara meningkat 7.0 peratus setahun dari RM787
pada tahun 1957 kepada RM29,661 pada tahun 2011. Dasar untuk mempelbagaikan
ekonomi turut menyumbang kepada transformasi ekonomi daripada sebuah negara berasaskan
komoditi dan pertanian kepada sebuah negara berasaskan pembuatan, yang mana pada
tahun 1986 menyaksikan sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK telah mengatasi
sektor pertanian. Malah dalam sektor pertanian sendiri turut menyaksikan
perubahan dengan kelapa sawit menjadi penyumbang utama. Terkini, pada tahun
2011, penyumbang utama pertumbuhan adalah sektor perkhidmatan yang mana ianya
menyumbang 58 peratus kepada KDNK berbanding 40 peratus pada tahun 1957.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengajaran dari
krisis kewangan Asia pada tahun 1997/98 telah menunjukkan betapa pentingnya
negara meningkatkan dayatahan dari ketidak tentuan sektor luar negara. Pelbagai
dasar telah dilaksanakan untuk menggiatkan sumber pertumbuhan dalam negeri atau
endogenous driven-growth (dengan izin). Antaranya, usaha menggiatkan
pelaburan swasta dan awam untuk meningkatkan potensi pertumbuhan negara
disamping kemampanan pertumbuhan penggunaan swasta sebagai penyumbang utama
pertumbuhan dengan memastikan pendapatan boleh guna rakyat yang sentiasa
meningkat. Sehubungan ini, walaupun dalam keadaan sektor luar negara yang lemah
pada tahun 2012, pertumbuhan 5.1 peratus pada separuh pertama 2012, sebahagian
besarnya telah disumbang oleh ekonomi domestik terutamanya pelaburan dan
penggunaan dari sektor swasta dan awam. Malah pada tahun 2011 dan separuh tahun
pertama 2012 turut menyaksikan sumbangan pelaburan swasta yang lebih tinggi
berbanding pelaburan awan, iaitu meningkat kepada kira-kira 60 peratus daripada
jumlah pelaburan.
No comments:
Post a Comment