Berikut adalah jawapan saya bagi pihak Perdana Menteri , YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kepada Soalan No.16 di Parlimen hari ini.
SOALAN
16
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : YB TUAN
KULASEGARAN MURUGESON [ IPOH BARAT ]PERTANYAAN : LISAN
TARIKH : 6 NOVEMBER 2012
Tuan Kulasegaran a/l Murugeson [ Ipoh Barat ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah
langkah yang telah dilakukan oleh Kerajaan untuk meningkatkan status ekonomi masyarakat India sejak Pilihan Raya Umum Mac 2008.
JAWAPAN :
Dasar-dasar
pembangunan sosioekonomi semenjak merdeka, khususnya Dasar Ekonomi Baru (DEB)
dan dasar-dasar selepasnya sehingga kini terus menekankan kepada pengagihan
kekayaan ekonomi secara saksama. Matlamatnya adalah agar seluruh rakyat tanpa
mengira kaum dan keturunan dapat menikmati hasil pembangunan negara. Ini
tentunya juga termasuk masyarakat India di mana Kerajaan komited untuk
memastikan taraf sosioekonomi mereka setara dengan kaum-kaum lain di negara
kita.
Selaras dengan
komitmen itu, pelbagai program dilaksanakan memberi faedah secara
langsung kepada masyarakat India serta membantu meningkatkan
sosioekonomi masyarakat India. Secara umumnya, masyarakat India telah banyak mendapat
faedah hasil daripada pembangunan yang dilaksanakan. Ini dapat ditunjukkan dari
segi pendapatan isi rumah bulanan purata bagi kaum India yang
telah meningkat daripada RM3,456 pada tahun
2004 kepada RM3,999 pada tahun 2009.
Namun demikian,
seperti juga kumpulan etnik lain, masih terdapat di kalangan masyarakat India
yang berpendapatan rendah dan memerlukan perhatian Kerajaan. Oleh itu, Kerajaan
akan terus menyediakan peluang kepada semua rakyat, terutamanya di kalangan
isirumah berpendapatan rendah meningkatkan potensi menjana pendapatan dan
menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Antara langkah berterusan Kerajaan
ialah seperti program pendidikan dan latihan. Di samping itu, Kerajaan juga
menyediakan peluang-peluang pekerjaan melalui usaha memastikan perubahan
ekonomi yang mampan serta mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi semua
rakyat. Dengan ini, mereka dapat meningkatkan potensi menjana pendapatan dan
kualiti hidup yang lebih baik.
Sebagai
inisiatif tambahan, Kerajaan juga turut menyediakan program khusus bagi
yang dapat memberi faedah terus kepada masyarakat India. Program ini adalah
bagi memastikan pembangunan seimbang dari segi ekonomi dan ekuiti kaum India di
negara ini, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mencapai tahap negara
berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Antara program-program tersebut
termasuklah program peningkatan pendapatan, program latihan kemahiran dan
bantuan kewangan meliputi program perniagaan dan pinjaman perumahan. Masyarakat
India juga
berpeluang untuk menyertai skim saham amanah seperti Amanah Saham Wawasan 2020
(ASW), Amanah Saham Malaysia (ASM) dan Amanah Saham 1Malaysia. Di samping
itu, Kerajaan juga menyediakan latihan keusahawanan khusus
kepada usahawan muda daripada masyarakat India bagi
menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan.
Kerajaan juga telah
menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India
yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri untuk memantau dan menggubal
dasar dan strategi khusus bagi pembangunan sosioekonomi masyarakat India yang
meliputi aspek-aspek pendidikan, guna tenaga, keusahawanan dan sebagainya.
Selain daripada itu juga, seorang menteri penuh di Jabatan
Perdana Menteri telah dilantik sebagai
menteri peneraju untuk memimpin usaha kerajaan bagi membangunkan taraf sosio
ekonomi masyarakat India.