_________________________________________________________________________________
SOALAN NO. 1
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : DATO' SERI TIONG KING SING [ BINTULU ]
TARIKH : 24 SEPTEMBER 2012 (ISNIN)
SOALAN :
Dato' Seri Tiong King Sing [ Bintulu ] minta PERDANA MENTERI
menyatakan apakah pencapaian yang telah dikecapi melalui Pelan Transformasi
Ekonomi (ETP) dalam memastikan rakyat menikmati kestabilan ekonomi dan ekonomi
negara sentiasa berdaya saing dalam ekonomi global.
JAWAPAN :
Tuan Yang di-Pertua,
Program Transformasi Ekonomi (ETP), telah giat
dilaksanakan sejak September tahun 2010 dengan tujuan untuk membawa ekonomi
Malaysia ke arah Negara yang berpendapatan tinggi dengan mencapai sasaran Pendapatan
Kasar Kebangsaan (GNI) sebanyak RM48,000 per kapita pada tahun 2020. Sasaran
ini dapat dicapai dengan memantapkan dua belas (12) ‘National Key Economic
Areas’ ataupun NKEA.
Prestasi ETP bagi tahun 2011 amat menggalakkan dengan
pencapaian GNI sebanyak RM830 billion berbanding dengan sasaran RM797 billion.
Pelaburan sektor swasta juga berjaya mencapai RM94 billion berbanding dengan
sasaran RM83 billion.
Butir-butir terperinci bagi EPP yang berada di bawah
payung ETP akan diterbitkan dalam Laporan Tahunan 2011 dengan angka-angka yang
disahkan oleh Pricewaterhouse Coopers (PwC).
Pada 13
September 2012, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan 7 projek
baru yang bernilai RM5.607 billion dalam pelaburan yang dijangka akan
menjanakan RM2.361 billion GNI dan 18,522 peluang pekerjaan menjelang tahun
2020.
Dari sudut daya saing, Kerajaan akan berusaha ke arah
meningkatkan daya saing Negara. Antara inisiatif yang telah dilakukan, Akta
Persaingan 2010 telah dikuatkuasakan pada permulaan tahun yang bertujuan untuk
mengurangkan semangat anti-persaingan. Tambahan pula, Standard Malaysia telah
mula proses untuk mengurangkan masa yang diperlukan untuk mengamalkan standard
antarabangsa ke atas barangan Malaysia melalui pindaan yang dibuat dalam Akta
Standard Malaysia 1996.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, melalui penerbitan
FDI Confidence Index 2012, organisasi penyelidikan bebas antarabangsa, A.T.
Kearney dalam laporannya telah meningkatkan taraf Malaysia ke nombor 10 pada
tahun 2012 di mana Malaysia naik dari nombor 21 pada tahun 2010. Tambahan pula,
dalam penerbitan World Bank, Ease of Doing Business Report 2012, Malaysia telah
naik ke nombor 18 pada tahun 2012 dari nombor 23 pada tahun 2011.
Oleh itu, adalah nyata bahawa Kerajaan Malaysia di bawah
pimpinan YAB Perdana Menteri memang komited dan akan terus berikhtiar untuk
membawa Negara Malaysia maju sehingga berjaya mencapai taraf negara
berpendapatan tinggi.
Sekian. Terima kasih.
SOALAN NO. 6
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TAN SRI DATO' ABD. KHALID BIN IBRAHIM
[BANDAR TUN RAZAK]
TARIKH : 24 SEPTEMBER 2012 (ISNIN)
SOALAN :
Y.A.B. Tan Sri Dato' Abd. Khalid bin Ibrahim [ Bandar Tun
Razak ] minta PERDANA MENTERI menyatakan bagaimanakah pembinaan Lebuhraya
Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan
lalu lintas yang dihadapi pengguna di Lembah Klang
JAWAPAN :
Tuan Yang di-Pertua,
Pembinaan
Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dapat membantu menyelesaikan masalah
kesesakan lalu lintas yang dihadapi pengguna di Lembah Klang dalam beberapa
aspek seperti berikut:
(a) menjadi jalan
alternatif dan dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan di Jalan
Lingkaran Tengah Dua (MRR2) khususnya di kawasan Ulu Kelang, Ampang dan Pandan
Indah;
(b) menjadi jalan
alternatif dan dijangka akan mengurangkan masalah kesesakan trafik di Jalan
Ampang;
(c) mewujudkan laluan
baru dari Lebuhraya Grand Saga menghala ke Kuala Lumpur yang kini hanya melalui
Jalan Cheras;
(d) berfungsi sebagai
sistem penyuraian trafik yang efektif di mana ia menyediakan penghubung antara
pusat bandar dan kawasan timur Lembah Klang melalui Lebuhraya AKLEH dan juga
penghubung antara kawasan timur dan kawasan utara Lembah Klang melalui
Lebuhraya DUKE; dan
(e) menghubung dan
melengkapkan jajaran lebuhraya sedia ada iaitu Lebuhraya Duta-Ulu Kelang,
Lebuhraya AKLEH, Lebuhraya Grand Saga, Lebuhraya Metramac, Lebuhraya Besraya,
Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban dan Lebuhraya KESAS.
No comments:
Post a Comment