Berikut adalah jawapan saya bagi pihak Perdana Menteri , YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kepada Soalan No.4 di Parlimen semalam.
SOALAN 4
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : YB SENATOR DATO’ ABDUL RAHIM BIN ABDUL RAHMANPERTANYAAN : LISAN
TARIKH : 17 DISEMBER 2012 (ISNIN)
YB SENATOR DATO’
ABDUL RAHIM BIN ABDUL RAHMAN minta PERDANA MENTERI
menyatakan apakah Kementerian mempunyai
data yang lengkap mengenai bilangan penduduk miskin tegar di negara ini dan
apakah langkah-langkah yang sedang dan akan diambil untuk mencapai status
miskin tegar sifar menjelang 2020.
JAWAPAN
Kerajaan telah mewujudkan sistem eKasih pada tahun 2007
sebagai pangkalan data yang lengkap mengenai bilangan penduduk Miskin Tegar di
negara ini. Sistem ini menggabungkan sistem Skim Pembangunan Kesejahteraan
Rakyat (SPKR) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang
merupakan pangkalan data profil isi rumah Miskin Tegar luar bandar dan Urban Poverty
Information Systems (UPIS) iaitu
sistem untuk merekod dan memproses permohonan bantuan kemiskinan di bandar.
Setakat 31 Oktober 2012, seramai 53,034 Ketua Isi Rumah (KIR) masih direkodkan
sebagai Miskin Tegar di dalam eKasih.
Antara
langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk mencapai status miskin tegar
sifar menjelang 2020 adalah melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang
telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2010. Program GTP
diperkenalkan bertujuan menangani bidang-bidang utama yang menjadi keprihatinan
rakyat Malaysia di samping menjadi pemangkin kepada transformasi Malaysia untuk
menjadi sebuah negara yang membangun dan berpendapatan tinggi selaras dengan
Wawasan 2020.
Untuk
memastikan usaha GTP adalah terfokus dan mampan, sebuah rancangan sembilan
tahun yang bercita-cita tinggi yang meliputi tiga fasa telah diwujudkan iaitu
fasa pertama (2010-2012), fasa kedua (2012-2015) dan fasa ketiga (2015-2020). Antara kejayaan besar yang dicapai daripada program GTP
ini adalah mengeluarkan lebih 44,000 isi rumah daripada kategori miskin tegar
pada tahun 2010.
Seterusnya, menerusi
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mempertingkatkan
Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah (LIH) adalah untuk
mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan taraf kehidupan isi rumah
berpendapatan rendah. Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
selaku agensi peneraju kepada inisiatif ini telah memperuntukkan bantuan kepada
isi rumah berpendapatan rendah selain memberi peluang kepada mereka untuk
membantu diri sendiri dan meningkatkan produktiviti melalui program 1AZAM
(Akhiri Zaman Miskin). Program 1AZAM dilaksanakan bagi membebaskan isi rumah
berpendapatan rendah daripada kelompok miskin melalui pekerjaan, keusahawanan,
aktiviti pertanian dan perkhidmatan.
No comments:
Post a Comment