Berikut adalah jawapan saya bagi pihak Perdana Menteri , YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kepada Soalan No.4 di Parlimen semalam.
SOALAN 9
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : DATUK RAJA ROPIAAH BINTI RAJA ABDULLAHPERTANYAAN : LISAN
Datuk Raja Ropiaah binti Raja Abdullah minta PERDANA MENTERI
menyatakan inisiatif yang dilakukan oleh pihak Kerajaan untuk menangani dan
mengurangkan bebanan rakyat untuk memiliki keperluan asas keluarga seperti
Rumah (roof over your head), Makanan (food on the table), dan Pendidikan
anak-anak. Apakah Master Plan Kerajaan untuk menentukan setiap keluarga dapat
memiliki rumah, mampu menyara keluarga, dapat memberi pendidikan kepada
anak-anak serta hidup dengan selesa dan aman sejahtera.
JAWAPAN
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, rekod pembangunan
negara sejak awal lagi telah menunjukkan bahawa penjagaan kesejahteraan rakyat
merupakan objektif utama kesemua rancangan pembangunan yang dilaksanakan oleh
Kerajaan. Melalui dua Rancangan Malaya dan sembilan Rancangan Malaysia,
Kerajaan telah berjaya memperkukuh dan mempelbagaikan asas pertumbuhan ekonomi
semenjak Merdeka lagi. Kerajaan juga sememangnya prihatin ke atas memenuhi
keperluan asas rakyat termasuklah penyediaan perumahan, makanan, kesihatan,
pengangkutan dan pendidikan yang mencukupi.
Hasilnya, pendapatan per kapita rakyat telah meningkat
sebanyak 27 kali ganda semenjak 1970 kepada kini lebih dari RM29,000. Di
samping itu, kadar kemiskinan juga telah berjaya dikurangkan dari hampir
separuh isirumah di Malaysia pada tahun 1970 kepada kini 3.8 peratus. Dengan
adanya peningkatan dalam pendapatan dan pengagihan kekayaan yang lebih saksama
ini, kualiti hidup rakyat juga telah turut meningkat, seperti yang dicerminkan
dalam Indeks Kualiti Hidup Malaysia. Menurut Indeks tersebut, aspek perumahan,
pendidikan, pengangkutan dan kesihatan kesemuanya telah mencatatkan penambahbaikan
yang ketara semenjak 1990. Sekiranya dahulu tumpuan Kerajaan lebih kepada
penyediaan kemudahan yang mencukupi, sekarang Kerajaan juga memberi penekanan
kepada kualiti kemudahan fizikal dan penyampaian perkhidmatan berkenaan.
Dalam mengadakan keperluan perumahan, Kerajaan amat prihatin di atas keperluan mendesak
yang dihadapi oleh rakyat dalam memenuhi keperluan asas sebuah keluarga untuk
memiliki sebuah rumah yang selesa, terutamanya bagi golongan yang berpendapatan
rendah. Pada masa ini, terdapat kira-kira 16,029 unit rumah yang sedang dibina
oleh Kerajaan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR). Di samping itu, terkini
Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM543 juta di bawah Bajet 2013 bagi
melaksanakan 45 lagi projek PPR yang melibatkan pembinaan sebanyak 20,454 unit
rumah kos rendah. Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) juga turut terlibat
dalam mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah, di mana SPNB akan
membina kira-kira 21,000 unit Rumah Mesra Rakyat dan 22,855 unit kediaman yang
turut merangkumi apartmen kos rendah.
Kerajaan juga tidak melupakan golongan berpendapatan
sederhana yang turut terbeban dengan kenaikan taraf hidup. Pembinaan rumah mampu
milik bagi golongan tersebut telah dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan
Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Pada tahun 2013, Perbadanan PR1MA telah
mensasarkan pembinaan sebanyak 7,000 unit rumah mampu milik di sekitar Lembah
Klang dengan baki sebanyak 43,000 unit rumah akan dibina di bandar-bandar utama
seluruh negara. Usaha Perbadanan PR1MA tersebut akan disokong oleh SPNB yang
akan membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos sederhana di Shah Alam dan Sungai
Buloh.
Dari aspek keperluan makanan
pula, pelbagai inisatif juga telah dijalankan oleh pihak Kerajaan dalam usaha
meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat bagi mereka memperolehi pendapatan
yang cukup untuk membeli barangan, makanan dan lain-lain keperluan asas agar
mereka mampu menyara keluarga serta hidup dengan selesa.
Di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), pelbagai
inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi membantu golongan berpendapatan
rendah meningkatkan pendapatan keluarga dan seterusnya keluar dari kepompong
kemiskinan. Sebagai contoh, salah satu inisitaif yang dilaksanakan ialah National Key Result Area Low Income
Household (NKRA LIH) yang merupakan program productive wellfare dan dikenali sebagai Program 1AZAM. Program
1AZAM telah menampakkan keberkesanannya dengan penyertaan sejumlah 90,984 orang
daripada seluruh negara iaitu 11,289 peserta bagi AZAM Tani, 5,669 peserta bagi
AZAM Kerja, 18,266 peserta bagi AZAM Niaga dan Khidmat di bawah Amanah Iktiar
Malaysia, 29,209 peserta bagi AZAM Niaga dan Khidmat di bawah Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 14,614 peserta di bawah Kerajaan
Negeri Sabah dan 11,937 peserta di bawah Kerajaan Negeri Sarawak.
Selain itu, bantuan dari segi non-productive wellfare juga turut disediakan oleh pihak Kerajaan
kepada golongan kurang bernasib baik iaitu menerusi pelbagai bentuk skim
bantuan bulanan termasuk untuk keluarga dan individu yang memerlukan agar
mereka dapat memenuhi keperluan makanan dan meneruskan penghidupan mereka dengan
lebih baik. Kumpulan ini terdiri daripada keluarga miskin yang merupakan ibu
tunggal yang mempunyai tanggungan tetapi tidak mempunyai pendapatan tetap,
warga emas miskin dan orang kelainan upaya (OKU) yang berdaftar dengan JKM.
Bantuan Orang Tua (BOT) juga ada disediakan di mana golongan sasar kepada BOT
ini ialah orang tua yang miskin serta uzur.
Bagi meringankan beban golongan isi rumah berpendapatan
kurang RM3,000 sebulan, Kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia
2 (BR1M 2.0) kepada isi rumah yang layak. Bantuan persekolahan sebanyak RM100
turut diteruskan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah serta pemberian
Baucer Buku 1Malaysia sebanyak RM250 bagi semua pelajar pra-Universiti dan
universiti. Golongan bujang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan juga turut
akan menerima bantuan tunai sebanyak RM250 seorang.
Tuan Yang di-Pertua serta Ahli Yang Berhormat sekalian,
Bagi pendidikan
pula pelbagai jenis inisiatif turut diperkenalkan untuk memastikan rakyat
mendapat kemudahan pendidikan yang sama. Program untuk meningkatkan pendapatan
isi rumah luar bandar akan ditumpukan kepada usaha meningkatkan kemahiran,
mewujudkan jalinan dengan majikan dalam kluster berkaitan dan bandar
berhampiran serta menyediakan sokongan untuk mereka yang bekerja sendiri,
perniagaan mikro dan industri berskala kecil. Usaha akan turut diambil untuk
meningkatkan produktiviti dan mengekalkan aktiviti berasaskan pertanian melalui
penggunaan teknologi pertanian moden dan kaedah peladangan kontrak yang meluas.
Bagi isi rumah berpendapatan rendah di bandar, inisiatif
meliputi pelaksanaan program pengukuhan keupayaan melalui latihan peningkatan
kemahiran bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan berpendapatan tinggi serta
menjalankan perniagaan berasaskan kemahiran. Di samping itu, pelbagai program
akan dilaksanakan melalui agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) bagi membantu usahawan memoden dan
meningkatkan saiz perniagaan untuk memastikan daya tahan perniagaan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat sekalian, pihak
Kerajaan akan sentiasa memberi tumpuan dan perhatian yang serius untuk
memastikan tiga keperluan asas iaitu rumah, makanan dan pendidikan dapat
dinikmati oleh semua golongan rakyat terutamanya golongan kurang bernasib baik.
Perancangan yang teliti dan kolektif diharap dapat memastikan pelbagai program
dan aktiviti yang dirancang akan memberi manfaat kepada golongan sasaran.
Diharap dengan adanya pelbagai program dan rancangan oleh Kerajaan ini, rakyat
Malaysia akan menikmati hidup yang lebih baik pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment