Sunday 23 September 2012

Dewan Rakyat [24/9/2012] JAWAPAN KEPADA PERTANYAAN LISAN

Berikut adalah jawapan saya bagi pihak Perdana Menteri , YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kepada Soalan No.1 dan No.6 di Parlimen  bagi  MESYUARAT KETIGA - PENGGAL KE-5 yang bermula hari ini , 24/9/2012/






_________________________________________________________________________________



SOALAN NO. 1

PERTANYAAN  :        LISAN
DARIPADA       :        DATO' SERI TIONG KING SING [ BINTULU ]
TARIKH            :        24 SEPTEMBER 2012 (ISNIN)

SOALAN            :

Dato' Seri Tiong King Sing [ Bintulu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah pencapaian yang telah dikecapi melalui Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dalam memastikan rakyat menikmati kestabilan ekonomi dan ekonomi negara sentiasa berdaya saing dalam ekonomi global.

JAWAPAN         :


Tuan Yang di-Pertua,


Program Transformasi Ekonomi (ETP), telah giat dilaksanakan sejak September tahun 2010 dengan tujuan untuk membawa ekonomi Malaysia ke arah Negara yang berpendapatan tinggi dengan mencapai sasaran Pendapatan Kasar Kebangsaan (GNI) sebanyak RM48,000 per kapita pada tahun 2020. Sasaran ini dapat dicapai dengan memantapkan dua belas (12) ‘National Key Economic Areas’ ataupun NKEA.

Prestasi ETP bagi tahun 2011 amat menggalakkan dengan pencapaian GNI sebanyak RM830 billion berbanding dengan sasaran RM797 billion. Pelaburan sektor swasta juga berjaya mencapai RM94 billion berbanding dengan sasaran RM83 billion.

Butir-butir terperinci bagi EPP yang berada di bawah payung ETP akan diterbitkan dalam Laporan Tahunan 2011 dengan angka-angka yang disahkan oleh Pricewaterhouse Coopers (PwC).
Pada 13 September 2012, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan 7 projek baru yang bernilai RM5.607 billion dalam pelaburan yang dijangka akan menjanakan RM2.361 billion GNI dan 18,522 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.

Dari sudut daya saing, Kerajaan akan berusaha ke arah meningkatkan daya saing Negara. Antara inisiatif yang telah dilakukan, Akta Persaingan 2010 telah dikuatkuasakan pada permulaan tahun yang bertujuan untuk mengurangkan semangat anti-persaingan. Tambahan pula, Standard Malaysia telah mula proses untuk mengurangkan masa yang diperlukan untuk mengamalkan standard antarabangsa ke atas barangan Malaysia melalui pindaan yang dibuat dalam Akta Standard Malaysia 1996.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, melalui penerbitan FDI Confidence Index 2012, organisasi penyelidikan bebas antarabangsa, A.T. Kearney dalam laporannya telah meningkatkan taraf Malaysia ke nombor 10 pada tahun 2012 di mana Malaysia naik dari nombor 21 pada tahun 2010. Tambahan pula, dalam penerbitan World Bank, Ease of Doing Business Report 2012, Malaysia telah naik ke nombor 18 pada tahun 2012 dari nombor 23 pada tahun 2011.
Oleh itu, adalah nyata bahawa Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri memang komited dan akan terus berikhtiar untuk membawa Negara Malaysia maju sehingga berjaya mencapai taraf negara berpendapatan tinggi.
Sekian. Terima kasih.





SOALAN NO. 6

PERTANYAAN   :        LISAN
DARIPADA         :   TAN SRI DATO' ABD. KHALID BIN IBRAHIM
[BANDAR TUN RAZAK]

 TARIKH             :        24 SEPTEMBER 2012 (ISNIN)

SOALAN            :

Y.A.B. Tan Sri Dato' Abd. Khalid bin Ibrahim [ Bandar Tun Razak ] minta PERDANA MENTERI menyatakan bagaimanakah pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi pengguna di Lembah Klang


JAWAPAN         :

Tuan Yang di-Pertua,


Pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi pengguna di Lembah Klang dalam beberapa aspek seperti berikut:

(a)  menjadi jalan alternatif dan dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) khususnya di kawasan Ulu Kelang, Ampang dan Pandan Indah;

(b)  menjadi jalan alternatif dan dijangka akan mengurangkan masalah kesesakan trafik di Jalan Ampang;

(c)  mewujudkan laluan baru dari Lebuhraya Grand Saga menghala ke Kuala Lumpur yang kini hanya melalui Jalan Cheras;

(d)  berfungsi sebagai sistem penyuraian trafik yang efektif di mana ia menyediakan penghubung antara pusat bandar dan kawasan timur Lembah Klang melalui Lebuhraya AKLEH dan juga penghubung antara kawasan timur dan kawasan utara Lembah Klang melalui Lebuhraya DUKE; dan
 
(e)  menghubung dan melengkapkan jajaran lebuhraya sedia ada iaitu Lebuhraya Duta-Ulu Kelang, Lebuhraya AKLEH, Lebuhraya Grand Saga, Lebuhraya Metramac, Lebuhraya Besraya, Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban dan Lebuhraya KESAS.



 

No comments:

Post a Comment