Monday 1 October 2012

Dewan Rakyat [1/10/2012] JAWAPAN KEPADA PERTANYAAN LISAN

Berikut adalah jawapan saya bagi pihak Perdana Menteri , YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kepada Soalan No.4 di Parlimen  bagi  MESYUARAT KETIGA - PENGGAL KE-5 hari ini.

 
SOALAN NO.4

PERTANYAAN  :        LISAN
DARIPADA       :      DATO' IBRAHIM BIN ALI [PASIR MAS]TARIKH           :        1 OKTOBER 2012 (ISNIN) 
 
 
 SOALAN        :
Dato' Ibrahim bin Ali [Pasir Mas] minta PERDANA MENTERI menyatakan kedudukan prestasi ekonomi negara setakat ini dan apakah peratusan perkembangan ekonomi negara (KDNK) lebih baik daripada Indonesia, Singapura, Filipina dan lain-lain negara Asean. 


JAWAPAN     :
 
Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, ekonomi Malaysia berjaya mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh dari 4.9 peratus pada suku pertama kepada 5.4 peratus bagi suku kedua tahun 2012. Walaupun persekitaran ekonomi global yang lemah, pertumbuhan tinggi telah dapat dicapai melalui langkah untuk menggiatkan ekonomi dalam negeri terutama usaha meningkatkan pelaburan swasta serta pertumbuhan penggunaan swasta yang mampan berikutan peningkatan pendapatan boleh guna.

Prestasi ekonomi Malaysia bagi suku kedua tahun 2012 adalah lebih baik berbanding dengan negara Singapura (2.0 peratus), Thailand (4.2 peratus) dan  Vietnam (4.4 peratus). Namun begitu, negara ASEAN lain yang mempunyai tahap keterbukaan sektor luar (degree of openess) yang rendah seperti Indonesia dan Filipina berjaya mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi pada kadar 6.4 peratus dan 5.9 peratus, disumbang terutamanya oleh pertumbuhan kukuh ekonomi dalam negeri.

Saya percaya ekonomi Malaysia mampu mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun 2012, disokong terutamanya pelaksanaan lebih giat projek pembangunan sektor awam dan swasta serta peningkatan pendapatan boleh guna rakyat berikutan beberapa insentif yang diberi oleh Kerajaan yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2013.
 
 

No comments:

Post a Comment