Monday 1 October 2012

Dewan Rakyat [2/10/2012] JAWAPAN KEPADA PERTANYAAN LISAN

Berikut adalah jawapan saya bagi pihak Perdana Menteri , YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kepada Soalan No.1 di Parlimen hari ini.


SOALAN NO.1
 
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA         :      DATUK HAJI MOHAMED BIN HAJI AZIZ [SRI GADING
TARIKH            :        2 OKTOBER 2012 (SELASA)
 
SOALAN :
 
DATUK HAJI MOHAMED BIN HAJI AZIZ [SRI GADING] minta PERDANA MENTERI menyatakan perkembangan kadar pendapatan isi rumah dan KDNK negara sejak awal kemerdekaan hingga tahun 2012 ini dan sejauh mana perkembangan ekonomi domestik berjaya menjadi pemangkin kepada kekuatan ekonomi negara sejak merdeka hingga kini.
 
 
JAWAPAN :

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah mula dilaksanakan Kerajaan pada tahun 1970 dan yang terakhir pada tahun 2009. Sehubungan ini, bagi tempoh 1970 hingga 2009, pendapatan kasar bulanan isi rumah purata negara meningkat sebanyak 7.2 peratus setahun daripada RM264 sebulan pada tahun 1970 kepada RM4,025 sebulan pada tahun 2009. Kadar peningkatan pendapatan isi rumah purata ini adalah lebih tinggi berbanding purata kadar inflasi sebanyak 3.4 peratus setahun, mencerminkan kuasa beli isi rumah yang terus meningkat dalam suasana paras harga yang terkawal. Kejayaan ini adalah hasil pelaksanaan dasar pembangunan yang sentiasa memberi penekanan kepada usaha membina keupayaan terutama dalam bidang pendidikan dan latihan serta peluang perkerjaan dan perniagaan berikutan pengembangan pesat aktiviti ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

 

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada harga benar pula telah berkembang sebanyak 6.1 peratus setahun dalam tempoh 1957 hingga 2011. Sehubungan ini, KDNK per kapita negara meningkat 7.0 peratus setahun dari RM787 pada tahun 1957 kepada RM29,661 pada tahun 2011. Dasar untuk mempelbagaikan ekonomi turut menyumbang kepada transformasi ekonomi daripada sebuah negara berasaskan komoditi dan pertanian kepada sebuah negara berasaskan pembuatan, yang mana pada tahun 1986 menyaksikan sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK telah mengatasi sektor pertanian. Malah dalam sektor pertanian sendiri turut menyaksikan perubahan dengan kelapa sawit menjadi penyumbang utama. Terkini, pada tahun 2011, penyumbang utama pertumbuhan adalah sektor perkhidmatan yang mana ianya menyumbang 58 peratus kepada KDNK berbanding 40 peratus pada tahun 1957.

 

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengajaran dari krisis kewangan Asia pada tahun 1997/98 telah menunjukkan betapa pentingnya negara meningkatkan dayatahan dari ketidak tentuan sektor luar negara. Pelbagai dasar telah dilaksanakan untuk menggiatkan sumber pertumbuhan dalam negeri atau endogenous driven-growth (dengan izin). Antaranya, usaha menggiatkan pelaburan swasta dan awam untuk meningkatkan potensi pertumbuhan negara disamping kemampanan pertumbuhan penggunaan swasta sebagai penyumbang utama pertumbuhan dengan memastikan pendapatan boleh guna rakyat yang sentiasa meningkat. Sehubungan ini, walaupun dalam keadaan sektor luar negara yang lemah pada tahun 2012, pertumbuhan 5.1 peratus pada separuh pertama 2012, sebahagian besarnya telah disumbang oleh ekonomi domestik terutamanya pelaburan dan penggunaan dari sektor swasta dan awam. Malah pada tahun 2011 dan separuh tahun pertama 2012 turut menyaksikan sumbangan pelaburan swasta yang lebih tinggi berbanding pelaburan awan, iaitu meningkat kepada kira-kira 60 peratus daripada jumlah pelaburan.


 

No comments:

Post a Comment