Monday 5 November 2012

Dewan Rakyat [6/11/2012] : JAWAPAN KEPADA PERTANYAAN LISAN NO.10 (Statistik Tahap Kemiskinan di Malaysia)

Berikut adalah jawapan saya bagi pihak Perdana Menteri , YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kepada Soalan No.10 di Parlimen hari ini.



SOALAN 10

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA     : YB TUAN MANOGARAN A/L MARIMUTHU [TELOK INTAN]
TARIKH          : 6 NOVEMBER 2012


YB TUAN MANOGARAN A/L MARIMUTHU [TELOK INTAN] minta PERDANA MENTERI menyatakan:

(a)     statistik tahap kemiskinan mengikut pecahan kaum yang terdapat di negara ini; dan
(b)     apakah langkah-langkah atau pun tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan untuk meninggikan taraf hidup serta status ekonomi kaum Melayu di negara ini.
 
JAWAPAN:
(a)
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, hasil daripada dasar-dasar dan program-program yang dilaksanakan, Malaysia telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 49.3% pada tahun 1970 kepada 3.8% pada tahun 2009 dan kemiskinan tegar hampir dihapuskan. Tahap kemiskinan di kalangan kaum juga telah berkurangan seperti berikut:
 
Kadar Kemiskinan mengikut Etnik, 1970, 1999 dan 2009, Malaysia
Etnik
Kadar Kemiskinan (%)
1970
1999*
2009
Bumiputera
64.8
12.3
5.3
Cina
26.0
1.2
0.6
India
39.2
3.4
2.5
MALAYSIA
49.3
8.5
3.8
Nota:*Mulai tahun 1999, pengiraan kemiskinan adalah berdasarkan metodologi 2005
(b) 
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan memberi perhatian utama untuk membantu isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah bagi meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup mereka tanpa mengira kaum dan lokasi. Ini termasuklah melalui pelaksanaan program peningkatan kapasiti dan kapabiliti serta program penjanaan pendapatan seperti program bantuan kredit mikro, khidmat nasihat dan latihan keusahawan dan pembinaan gerai niaga. Turut dilaksanakan adalah program-program bagi kumpulan khusus seperti masyarakat Orang Asli serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Selain daripada itu, Kerajaan turut melaksanakan pelbagai program lain seperti program bantuan rumah, saham amanah, program pendidikan dan latihan. Di samping itu, Kerajaan juga meningkatkan akses kepada kemudahan asas seperti infrastruktur dan pengangkutan, utiliti dan ameniti sosial di kawasan luar bandar. Bagi anak-anak dari golongan ini, Kerajaan turut menyediakan dana Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) bagi membolehkan mereka hadir dan belajar di sekolah.
 


No comments:

Post a Comment