Monday 5 November 2012

Dewan Rakyat [6/11/2012] : JAWAPAN KEPADA PERTANYAAN LISAN NO.16 Status Ekonomi Masyarakat India)

Berikut adalah jawapan saya bagi pihak Perdana Menteri , YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kepada Soalan No.16 di Parlimen hari ini.

 

SOALAN 16

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : YB  TUAN KULASEGARAN MURUGESON [ IPOH BARAT ]
TARIKH : 6 NOVEMBER 2012

Tuan Kulasegaran a/l Murugeson [ Ipoh Barat ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah
langkah yang telah dilakukan oleh Kerajaan untuk meningkatkan status ekonomi masyarakat India sejak Pilihan Raya Umum Mac 2008. 


JAWAPAN :

Dasar-dasar pembangunan sosioekonomi semenjak merdeka, khususnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar-dasar selepasnya sehingga kini terus menekankan kepada pengagihan kekayaan ekonomi secara saksama. Matlamatnya adalah agar seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan dapat menikmati hasil pembangunan negara. Ini tentunya juga termasuk masyarakat India di mana Kerajaan komited untuk memastikan taraf sosioekonomi mereka setara dengan kaum-kaum lain di negara kita.

Selaras dengan komitmen itu, pelbagai program dilaksanakan memberi faedah secara langsung kepada masyarakat India serta membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat India. Secara umumnya, masyarakat India telah banyak mendapat faedah hasil daripada pembangunan yang dilaksanakan. Ini dapat ditunjukkan dari segi pendapatan isi rumah bulanan purata bagi kaum India yang telah meningkat daripada RM3,456 pada tahun 2004 kepada RM3,999 pada tahun 2009.

Namun demikian, seperti juga kumpulan etnik lain, masih terdapat di kalangan masyarakat India yang berpendapatan rendah dan memerlukan perhatian Kerajaan. Oleh itu, Kerajaan akan terus menyediakan peluang kepada semua rakyat, terutamanya di kalangan isirumah berpendapatan rendah meningkatkan potensi menjana pendapatan dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Antara langkah berterusan Kerajaan ialah seperti program pendidikan dan latihan. Di samping itu, Kerajaan juga menyediakan peluang-peluang pekerjaan melalui usaha memastikan perubahan ekonomi yang mampan serta mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi semua rakyat. Dengan ini, mereka dapat meningkatkan potensi menjana pendapatan dan kualiti hidup yang lebih baik.

Sebagai inisiatif tambahan, Kerajaan juga turut menyediakan program khusus bagi yang dapat memberi faedah terus kepada masyarakat India. Program ini adalah bagi memastikan pembangunan seimbang dari segi ekonomi dan ekuiti kaum India di negara ini, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Antara program-program tersebut termasuklah program peningkatan pendapatan, program latihan kemahiran dan bantuan kewangan meliputi program perniagaan dan pinjaman perumahan. Masyarakat India juga berpeluang untuk menyertai skim saham amanah seperti Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW), Amanah Saham Malaysia (ASM) dan Amanah Saham 1Malaysia. Di samping itu, Kerajaan juga menyediakan latihan keusahawanan khusus kepada usahawan muda daripada masyarakat India bagi menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan.

Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri untuk memantau dan menggubal dasar dan strategi khusus bagi pembangunan sosioekonomi masyarakat India yang meliputi aspek-aspek pendidikan, guna tenaga, keusahawanan dan sebagainya.

Selain daripada itu juga, seorang menteri penuh di Jabatan Perdana Menteri telah  dilantik sebagai menteri peneraju untuk memimpin usaha kerajaan bagi membangunkan taraf sosio ekonomi masyarakat India.
 
 

No comments:

Post a Comment